Penangguhan dibatal mengejut, hukuman gantung mati ke atas Datchinamurthy diteruskan di Singapura

Hukuman mati ke atas Datchinamurthy Kataiah yang diumum ditangguhkan pada awal pagi tadi diteruskan pada petang Khamis.
Datchinamurthy Kataiah pada mulanya dimaklumkan menerima penangguhan pelaksanaan hukuman mati pada jam 12.30 malam tadi.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, keluarganya dikejutkan dengan makluman bahawa hukuman itu akan diteruskan dan mereka diminta bersedia untuk menuntut mayatnya pada jam 3 petang.
Menurut bekas Peguam dari Singapura, M Ravi, harapan yang diberikan oleh pihak mahkamah Singapura nyata menjadi satu tamparan hebat kepada keluarga Datchinamurthy.
Katanya, meskipun detik pahit itu terpaksa dilalui oleh pihak keluarga dan dilihat kurang bertamadun, ia seharusnya menjadi satu pengajaran besar bagi setiap masyarakat supaya tidak terlibat sebarang penyalahgunaan dadah.
Datchinamurthy dikenakan hukuman mati atas kesalahan menyeludup 44.96g diamorfin ke Singapura dan merupakan seorang daripada empat rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di republik itu.




