Pendaftaran SIM prabayar wajib pakai MyDigital ID hujung tahun ini

Kerajaan akan mewajibkan semua pendaftaran kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID menjelang November atau Disember tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan digital negara.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR).
Ia selepas kerajaan mendapati kelemahan dalam sistem sedia ada, termasuk jumlah kad SIM yang boleh didaftarkan bawah satu nama tanpa kawalan.
Penggunaan MyDigital ID dijangka menutup kelompangan yang membolehkan pendaftaran SIM dilakukan secara longgar, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti serta akses internet tanpa kawalan, terutamanya dalam isu melibatkan keselamatan kanak-kanak di platform media sosial.
Kerajaan juga mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk bersedia melaksanakan sistem baharu ini yang akan menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang memperkukuh keselamatan siber dan pengurusan data pengguna di Malaysia.




