Pengantin lelaki baru kahwin 2 hari, ditemui mati tergantung di Baling

Seorang lelaki yang baru dua hari mendirikan rumah tangga ditemui maut tergantung pada sebatang pokok semambu di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang, Baling pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, berkata pihak polis menerima laporan penemuan mayat itu sekitar 11.30 pagi sebelum pasukan siasatan bergegas ke lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dan merupakan penduduk kampung berkenaan. Mayatnya ditemui tergantung pada pokok setinggi kira-kira lima meter di tepi sebuah rumah.
Petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Kupang mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.




