Perkahwinan Diraja: Jalan Istana, Klang ditutup sementara Khamis ini

Jalan Istana di Klang akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan dari jam 7 hingga 10 pagi, Khamis ini sempena perarakan diraja bersempena Majlis Perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Istana Alam Shah.
Penutupan dilakukan bagi memastikan persiapan serta kelancaran perarakan dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah berjalan lancar.
Laluan lain di sekitar Bandaraya Diraja Klang kekal dibuka dengan kawalan polis trafik, manakala daerah lain di Selangor tidak terjejas.
Orang ramai dinasihatkan merujuk hanya makluman rasmi PDRM bagi mengelak maklumat palsu berkaitan penutupan jalan.
Majlis pernikahan Tengku Amir Shah dengan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz dijadual berlangsung di Masjid Istana Diraja pada Khamis depan, manakala istiadat persandingan dan santapan diraja akan diadakan pada 22 Oktober.




