Malaysia
Polis kesan tiga penyamun kedai runcit di Bachok

Polis sedang mengesan tiga lelaki yang menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Tekor Ayer Merah, Kandis, Bachok pada Rabu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, ketiga-tiga suspek yang memakai penutup muka memasuki premis sebelum mengacukan senjata menyerupai pistol serta pisau ke arah pekerja.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin memaklumkan suspek melarikan dua utas gelang emas milik mangsa selain mengambil barangan kedai termasuk rokok, roti dan wang tunai kira-kira RM600.
Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM3,800.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang dipergiat oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bachok.



