Polis KL kesan 36 lelaki dikehendaki, pelbagai jenayah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mendedahkan pihaknya kini sedang mengesan 36 lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah.
Mereka adalah terlibat dalam kesalahan termasuk mendatangkan cedera, mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, merusuh, pecah rumah dan bunuh.
Lokasi terakhir individu terbabit dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta beberapa negeri lain.
Antara yang dikesan ialah Low Lye Huat dari Klang bagi kes mendatangkan cedera, Ahmad Nazzer Abd Wahab dari Flat Kampung Kerinchi kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.
Billy Leong Li Sun dari Taman Setapak Indah bagi kes merusuh dan mendatangkan cedera parah, serta Magesan a/l Salva Coma dari Batu Caves yang dikehendaki berhubung kes bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai D4 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan K Rajkumar di talian 03-21460613 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



