Polis tahan lelaki aktif curi bateri kereta, jual RM30-RM50 di Sentul

Polis Diraja Malaysia menahan seorang lelaki bukan warganegara yang dipercayai terlibat aktif dalam kegiatan mencuri bateri kereta di sekitar Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan tangkapan dibuat pada 6 Februari susulan 17 laporan polis diterima sejak Oktober 2025 melibatkan kes kecurian bateri kenderaan.
Suspek merupakan lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan berkenaan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 21 Februari 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Bateri yang dicuri dipercayai dijual semula dengan harga antara RM30 hingga RM50 seunit, dan tangkapan itu membantu polis menyelesaikan beberapa kes yang menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.




