RM5 juta daripada RM40 juta dana program Rakan Muda diguna bagi inisiatif “Lawan Buli” – Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM5 juta khusus untuk inisiatif “Lawan Buli” tahun 2025, sebagai sebahagian usaha menangani budaya buli dalam kalangan belia dan pelajar.
Menurut Menteri, Hannah Yeoh, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM40 juta bajet Program Rakan Muda 2025, dengan fokus memastikan intervensi anti-buli dilaksanakan secara lebih tersusun, terlatih dan melibatkan komuniti.
“Jadi banyak pandangan yang telah kita dengar, pandangan-pandangan yang bagus daripada NGO dan juga wakil-wakil kerajaan dan kumpulan belia yang ini kita akan kumpulkan semua hasil perbincangan hari ini dan kita juga akan bentangkan nota Jemaah Menteri kepada kepada rumah kabinet.
“Semua gejala buli sekarang dan yang sedang berlaku di sekolah dan di luar sekolah melibatkan golongan muda perlu satu whole of government approach yang melibatkan semua agensi dan semua pihak.
“Saya juga dengar pandangan daripada PIBG tadi yang saya rasa cukup penting dan ada banyak suara yang kata kita perlu kembalikan kedaulatan guru di sekolah bermaksud guru mesti dihormati dan kalau ibu bapa tak memberikan penghormatan kepada guru susah untuk guru melaksanakan tindakan disiplin dan tatatertib di sekolah,” katanya.
Beliau membuat pengumuman itu selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin yang berlangsung di Menara KBS pada Khamis.
Antara dapatan program yang menghimpunkan 200 peserta itu adalah keperluan pendekatan rentas kementerian, termasuk sistem mentor melibatkan belia berpengalaman dan pekerja belia profesional bagi membimbing golongan remaja yang berdepan risiko.


