Samakan Greta Thunberg dengan Rasulullah SAW, satu kesilapan serius – Mufti

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil Noor menegaskan penyamaan sifat aktivis alam sekitar Greta Thunberg dengan Rasulullah SAW adalah satu kesilapan serius yang bercanggah dengan akidah Islam.
Beliau mengingatkan umat Islam agar tidak membuat kenyataan yang boleh merendahkan martabat Nabi, termasuk menyandarkan sebarang kelemahan atau sifat tidak layak kepada Baginda.
Isu itu tercetus selepas satu hantaran di Facebook menyamakan ciri autisme Greta Thunberg dengan keperibadian Rasulullah SAW, sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Ahmad Fauwaz menegaskan Nabi tidak boleh dibandingkan dengan individu biasa kerana kedudukan Baginda sebagai rasul adalah maksum dan paling mulia.
Beliau menasihatkan pihak yang membuat perbandingan tersebut supaya segera menarik semula kenyataan dan bertaubat kerana perkara melibatkan kemuliaan Rasulullah SAW tidak boleh dianggap remeh atau dijadikan perbandingan sembarangan.




