Seks suka sama suka, polis cadang gadis bawah umur juga diambil tindakan

Polis Kelantan mencadangkan semakan semula undang-undang berkaitan kes hubungan seksual bawah umur yang berlaku atas dasar suka sama suka, supaya tindakan tidak hanya dikenakan terhadap lelaki semata-mata.
Statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di negeri itu berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak, namun undang-undang sedia ada hanya membolehkan pendakwaan dibuat terhadap lelaki.
Cadangan penambahbaikan undang-undang ini dilihat penting bagi memastikan kedua-dua pihak bertanggungjawab, sekali gus memberi kesedaran masyarakat terhadap kesan kesalahan tersebut.
Dalam masa sama, usaha pencegahan lebih menyeluruh akan diperhalusi bersama pihak berkaitan termasuk institusi pendidikan, agama dan keluarga bagi membendung gejala itu daripada terus berleluasa.
Buat masa ini, kesalahan seks bawah umur lazimnya disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala kanak-kanak perempuan sering dilindungi sebagai mangsa.




