Peguam bawa kes tiga suspek Geng DT mati ditembak polis ke Bukit Aman

Peguam mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu menuntut Bukit Aman menyiasat kematian mereka, mendakwa insiden itu melibatkan pembunuhan di luar proses undang-undang.
Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy hari ini mendedahkan rakaman audio 13 minit yang dipercayai dirakam semasa kejadian ketika salah seorang mangsa, G Logeswaran menghubungi isterinya dan didakwa ada percanggahan dengan naratif polis.
Mangsa, M Puspanathan (21), T Poovaneswaran (24) dan G Logeswaran (29), didakwa polis sebagai penjenayah bersiri yang menyerang anggota dengan parang dan dipercayai terlibat dalam 20 kes samun sejak 2024 dengan kerugian dianggarkan RM1.3 juta.
Mereka menuntut Bukit Aman menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menangguhkan semua pegawai terlibat, termasuk mereka yang didakwa memalsukan laporan membela diri.
Terdahulu, polis Melaka berkata tiga suspek Geng DT ditembak selepas menyerang seorang anggota dengan parang, mengakibatkan kecederaan serius, dan polis terpaksa menembak bagi membela diri.




