Siling HTAR runtuh akibat paip bocor, tiada mangsa cedera

Sebahagian siling di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, runtuh pada 20 Oktober lalu. Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 malam di laluan hadapan Zon Biru, Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran paip di bahagian siling yang menyebabkan strukturnya menjadi lemah. Tiada pesakit atau kakitangan hospital terlibat dalam kejadian itu.
Susulan insiden tersebut, kawasan terjejas ditutup serta-merta dan laluan alternatif disediakan untuk pergerakan pesakit serta kakitangan.
Kerja pembersihan dan pembaikan turut dilaksanakan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
Menurut JKNS, kerja pembaikan selesai dan laluan itu dibuka semula pada jam 2.30 pagi.
Perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR juga beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.



