SPRM buka 87 kertas siasatan rasuah kementerian dengan KPDN paling tinggi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 87 kertas siasatan berkaitan kes rasuah di pelbagai kementerian antara 2022 hingga 26 September lalu, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 14 kes.
Menurut laporan Parlimen yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, kementerian lain yang turut mencatat angka tinggi ialah Kementerian Dalam Negeri (11 kes), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan (8 kes setiap satu), serta Jabatan Perdana Menteri (7 kes).
Selain itu, Kementerian Pertahanan (6 kes), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (5 kes) dan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan Tinggi (4 kes) turut tersenarai.
Beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan masing-masing mencatat tiga kertas siasatan, manakala beberapa kementerian lain hanya satu atau dua kes.
Azalina berkata, angka itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM.




