Suka makan lewat malam? Risiko penyakit hati boleh meningkat hingga 30 peratus

Penyelidik menganalisis data daripada tiga kajian besar, iaitu Nurses’ Health Study, Nurses’ Health Study II dan Health Professionals Follow-up Study, yang secara keseluruhannya melibatkan hampir 200,000 orang.
Menerusi kajian itu, penyelidik meneliti tabiat pemakanan dan gaya hidup yang dilaporkan peserta sendiri bagi mengenal pasti kaitannya dengan penyakit hati berlemak atau sirosis.
Kajian oleh Oregon Health and Science University mendapati individu yang melaporkan tabiat makan lewat malam mempunyai kadar penyakit hati 20 hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengamalkan tabiat tersebut.
Penyelidik percaya makan ketika badan sedang bersedia untuk tidur boleh mengganggu proses metabolisme normal. Hati memainkan peranan penting dalam mengawal metabolisme sepanjang hari, manakala makan lewat malam berkemungkinan mempengaruhi cara badan memproses makanan.
Bagaimanapun, kajian itu bergantung pada laporan peserta mengenai tabiat pemakanan mereka dan bersifat pemerhatian.
Ini bermakna penyelidik hanya menemukan kaitan antara makan lewat malam dengan penyakit hati, tetapi tidak dapat membuktikan bahawa tabiat itu menjadi punca langsung kepada keadaan tersebut.
Penyelidik kini sedang merekrut peserta untuk menjalankan ujian klinikal bagi mengkaji sama ada makan lebih awal pada waktu siang dapat memperbaiki petunjuk penyakit hati berlemak.




