Tapak MAPS kembali bernyawa, tanah dijual RM43.65 juta

Tapak bekas Movie Animation Park Studios (MAPS) di Bandar Meru Raya kini “bernyawa” semula selepas IGB Bhd membeli dua lot tanah pegangan bebas berkeluasan 9.83 hektar itu pada harga RM43.65 juta melalui anak syarikatnya, Bintang Sentral Sdn Bhd.
Pembelian tersebut masih menunggu kelulusan Kementerian Ekonomi dan kerajaan negeri, dengan proses dijangka dimuktamadkan menjelang separuh kedua 2026.
Langkah ini dilihat sebagai strategi IGB untuk mengembangkan kehadiran di Perak, memandangkan tapak berprofil tinggi itu sudah mempunyai infrastruktur lengkap serta kedudukan strategik di tepi Lebuhraya Utara-Selatan dan berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara.
IGB melihat kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk pembangunan komersial bercampur, sekaligus membuka ruang kepada pembangunan baharu yang mampu menghidupkan kembali kawasan yang pernah menjadi tarikan popular itu.



