Taufiq Johari tegas pembangunan belia jadi keutamaan

Menteri Belia dan Sukan baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan pembangunan belia menjadi keutamaan dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, selain memperkukuh peranan sukan sebagai medium perpaduan dan kebanggaan negara.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu memulakan hari pertama tugas dengan menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi kementerian sebelum merangka gerak kerja secara terperinci.
Ia termasuk memperkukuh kerjasama dengan persatuan sukan di bawah KBS serta pendekatan rentas kementerian bagi mengukuhkan agenda belia dan sukan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan, selain mengiktiraf sumbangan mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim.
Pelantikan Dr Mohammed Taufiq sebagai menteri penuh diumumkan hari ini susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani, yang merupakan rombakan kali kedua di bawah pentadbiran Anwar sejak Disember 2022.




