Tebuk dinding bank, perompak larikan kira-kira RM176 juta pada cuti Krismas

Sekumpulan perompak melarikan wang tunai, emas dan barang kemas dianggarkan bernilai €35 juta (kira-kira RM176 juta) selepas menebuk dinding konkrit sebuah bank simpanan di Gelsenkirchen, Jerman barat, ketika cuti Krismas.
Perompak dipercayai menggunakan gerudi industri untuk menembusi dinding bawah tanah bank Sparkasse dari kawasan parkir bersebelahan sebelum memecah masuk ke bilik kebal dan membuka lebih 3,000 peti simpanan keselamatan pelanggan.
Kejadian hanya disedari selepas penggera berbunyi awal pagi Isnin, namun suspek dipercayai telah melarikan diri.
Polis kini meneliti rakaman CCTV, pergerakan kenderaan sekitar lokasi serta kemungkinan rompakan dirancang rapi, termasuk siasatan terhadap unsur orang dalam.
Di luar cawangan bank, ratusan pelanggan berkumpul bagi mendapatkan maklumat selepas mendakwa kehilangan wang simpanan dan barang kemas.




