Indonesia sedia tarik diri jika misi Gaza tidak selari dasar pro-Palestin

Indonesia menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada pasukan keselamatan antarabangsa di Gaza pada bila-bila masa sekiranya misi itu tidak lagi selari dengan dasar luar pro-Palestin negara tersebut.
Negara majoriti Muslim terbesar dunia itu sedang membuat persiapan ketenteraan bagi menyertai International Stabilization Force (ISF), pasukan pelbagai negara yang dicadangkan Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan di Gaza.
Kementerian Luar Indonesia menetapkan bahawa penglibatan tenteranya hanya tertumpu kepada tugas kemanusiaan seperti perlindungan awam, penyaluran bantuan, pembinaan semula dan latihan polis Palestin, serta memerlukan persetujuan pihak berkuasa Palestin.
Pada masa sama, Presiden Prabowo Subianto dijadual menghadiri mesyuarat berkaitan pelan damai dan pembinaan semula Gaza di Washington.




