Tiada lagi bukti perjalanan diperlukan untuk mohon lesen memandu fizikal – JPJ

Rakyat Malaysia tidak lagi perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara bagi memohon lesen memandu fizikal berkuat kuasa 23 Januari ini.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan langkah itu dibuat susulan peningkatan penggunaan Lesen Memandu Malaysia Digital (LMM Digital) sejak dilancarkan pada Februari 2023, dengan kira-kira 13 juta pengguna aplikasi MyJPJ direkodkan setakat ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan lesen fizikal tanpa syarat bukti perjalanan, dengan bayaran cetakan RM20 bagi warganegara dan RM100 untuk bukan warganegara.
Pengecualian bayaran masih diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang lesen Kelas A1 dan A serta pemegang kad OKU berdaftar.
Kementerian turut menggalakkan orang ramai terus menggunakan lesen digital bagi urusan lebih pantas dan mudah.




