Malaysia

Isu kuil haram: Dasar jelas perlu bagi elak konflik berterusan – Muhyiddin

Isu penempatan kuil haram yang didakwa dibina tanpa kelulusan sah perlu mempunyai jalan penyelesaian jangka panjang ekoran dakwaan pertindihan dengan pemilikan tanah, pembangunan awam atau aduan komuniti setempat yang semakin berleluasa.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpandangan terdapat keperluan kepada satu dasar jelas melibatkan kerajaan dan wakil masyarakat India, bagi mengelakkan konflik berterusan yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Dalam konteks perundangan dan peraturan, mesti ada perkara yang boleh dibuat untuk membaiki keadaan. Setakat ini tidak ada satu cara yang jelas, kecuali apabila permohonan dibuat dan dibawa kepada pihak berkuasa tempatan.

Kalau semua syarat dipatuhi dan mendapat kelulusan majlis tempatan, mungkin tidak ada masalah. Tetapi realitinya, tidak ada satu penyelesaian tunggal untuk ribuan kuil yang ada di seluruh negara.  Apa yang lebih praktikal ialah menyelesaikan isu apabila ia timbul. Kuil yang sudah lama wujud dan tidak menimbulkan masalah, biarlah ia kekal.

Tetapi apabila timbul isu, jalan penyelesaian mesti dicari. Kita perlu ada satu dasar yang jelas, dibincangkan bersama wakil masyarakat India dan kerajaan, untuk penyelesaian jangka panjang. Jika tidak, isu ini akan berterusan dan hanya mencetuskan ketegangan serta pertelingkahan sepanjang masa.”

Beliau berkata demikian selepas sesi Makan Malam bersama Pengarang Kanan dan Wartawan Media Bahasa Tamil di Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar turut menegaskan isu pembinaan kuil haram tidak wajar diputar belit sebagai isu agama atau perkauman, sebaliknya perlu ditangani sebagai pelanggaran undang-undang yang mencabar kedaulatan negara.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker