Tiga lelaki kutip hutang di Sungai Besar ditahan polis, bukan kes curi kereta

Kekecohan di Sungai Besar, Sabak Bernam semalam apabila pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Jalan SBBC 3 rupa-rupanya berpunca daripada tuntutan hutang, bukan cubaan mencuri kereta seperti disangka orang ramai.
Empat lelaki berusia 31 hingga 53 tahun ditahan, terdiri daripada tiga ahli keluarga yang datang menuntut hutang dan seorang penghutang yang memandu kereta terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad, pergaduhan itu tercetus apabila pemiutang mengejar dan menyerang kenderaan penghutang.
Ia menyebabkan pemandu bertindak mengundur kereta beberapa kali untuk melarikan diri sehingga merosakkan dua kenderaan lain serta kawasan kaki lima kedai.
Semua suspek ditahan di lokasi kejadian, manakala seorang lagi individu masih diburu bagi membantu siasatan. Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 148 dan 279 Kanun Keseksaan.
Insiden itu tular selepas video menunjukkan ketiga-tiga lelaki memukul kereta berkenaan sebelum situasi bertukar ganas dan berakhir dengan rempuhan.




