Tiga remaja maut, tiga cedera kereta terbabas dalam parit di Banting

Tiga remaja lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta Toyota Corolla yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Kuala Langat, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.56 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Banting tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Kejadian membabitkan enam mangsa lelaki dipercayai warga tempatan yang ditemui bertindih di dalam kenderaan.
Proses menyelamat mengambil masa hampir sejam bermula jam 4.20 pagi hingga 5.15 pagi sebelum kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting.
Tiga mangsa yang cedera ialah Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19, manakala seorang lagi belum dikenal pasti.
Tiga mangsa yang maut pula ialah Muhammad Adib Anuar, 16, Hariz Nazri, 19, serta seorang lagi yang belum dikenal pasti identitinya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.15 pagi. Setakat ini, pihak media masih menunggu pengesahan lanjut daripada Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi.



