Tular mesej cikgu dan pelajar perempuan 15 tahun, ajak jumpa dalam bilik PSV bersendirian

Baru-baru ini, tular pendedahan mengejutkan oleh aktivis sosial, Cikgu Mohd Fadli Salleh, mengenai dakwaan salah laku seksual melibatkan seorang guru lelaki dan pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Pendedahan melalui hantaran di Facebook itu mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan modus operandi ‘grooming’ (pemangsa emosi) oleh guru berkenaan.
Berdasarkan bukti yang dikongsikan, guru tersebut didakwa cuba memanipulasi emosi pelajar menggunakan panggilan mesra seperti pasangan.
Lebih meresahkan, perbualan itu didakwa mula diselitkan dengan unsur-unsur lucah sehingga guru itu didakwa mengajak pelajar tersebut berjumpa secara bersendirian di lokasi ‘selamat’ seperti Bilik Pendidikan Seni Visual (PSV).
Kes berkenaan bagaimanapun telah dibawa kepada perhatian pihak polis dan aduan rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) turut dibuat.
Netizen pada masa sama menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil serius isu amang seksual di sekolah dan meningkatkan kawalan bagi melindungi keselamatan para pelajar.




