Tunku Ismail sekali lagi terima kunjungan Khabib di Johor

Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sekali lagi menerima menghadap Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Lightweight, dalam satu sesi santap tengah hari bersama Che’ Puan Khaleeda di Johor pada Selasa.
Menerusi perkongsian di Facebook, kehadiran Khabib turut menyaksikan lawatannya ke fasiliti milik Johor Darul Ta’zim termasuk Stadium Sultan Ibrahim, Ibu Pejabat JDT dan JDT Direct, selaras dengan peranannya sebagai Duta Sukan Johor.
Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri, EXCO Belia dan Sukan serta Duta Sukan Johor seperti Datuk Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams.
Pertemuan terbaharu ini mengulangi kunjungan Khabib kepada Tunku Mahkota Ismail pada Oktober tahun lalu, di mana antara fokus perbincangan ketika itu menyentuh pembangunan belia serta cadangan mewujudkan gimnasium latihan rasmi Khabib di Johor.
Ia menunjukkan hubungan erat dan berterusan antara kedua-dua figura dalam memajukan ekosistem sukan negeri.




