MOT cadang pemaju rumah kurangkan parkir, galak penggunaan pengangkutan awam

Kementerian Pengangkutan mencadangkan pemaju perumahan mengurangkan jumlah petak parkir dalam projek baharu yang terletak berhampiran stesen LRT atau MRT bagi menggalakkan penduduk beralih kepada pengangkutan awam.
Menteri, Anthony Loke berkata, cadangan itu yang telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengambil kira bahawa syarat minimum parkir bagi setiap unit kediaman antara punca peningkatan kos rumah.
Beberapa projek berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur juga sudah diberi kelonggaran oleh pihak berkuasa tempatan.
Langkah ini disasarkan kepada projek baharu, khususnya untuk golongan muda yang tinggal berdekatan rangkaian rel bandar, kerana keperluan memiliki kereta dijangka lebih rendah.
Ia pada masa sama dapat mengurangkan perbelanjaan harian selain menyokong peralihan kepada gaya hidup yang lebih bergantung pada pengangkutan awam.



