Cuaca sejuk landa Bangkok, suhu cecah serendah 18 darjah Celsius

Penduduk Bangkok dan kawasan metropolitan dinasihatkan bersiap menghadapi musim sejuk selepas suhu dijangka jatuh serendah 18 darjah Celsius minggu ini.
Penurunan dua hingga empat darjah Celsius dijangka berlaku secara berperingkat, dengan cuaca sejuk paling ketara pada waktu pagi dan malam.
Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan perubahan ini bermula dengan cuaca tidak menentu di utara negara, termasuk kemungkinan ribut petir, sebelum aliran udara sejuk melanda kawasan tengah hingga Bangkok.
Pihak berkuasa meminta penduduk menyediakan pakaian sesuai seperti jaket, skaf dan topi bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan, terutama penyakit berkaitan pernafasan.
Orang ramai juga disaran mengikuti maklumat dan amaran cuaca rasmi bagi persediaan awal.




