Felda rugi hampir RM10 bilion akibat salah urus – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Felda mengalami kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus dan campur tangan politik yang berlebihan, bukannya berpunca daripada peneroka.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, Negeri Sembilan. Menurutnya, kerajaan terpaksa mengambil langkah memulihkan Felda selepas mendapati agensi itu dibebani hutang besar.
Anwar berkata, Felda pernah menjadi antara syarikat perladangan terbesar dunia yang mencatat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun, namun prestasinya merosot akibat pengurusan yang gagal.
Beliau turut memaklumkan kerajaan kini menanggung kira-kira RM980 juta setahun bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan Felda serta memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara.




