Klang semakin dipilih sebagai destinasi pelancongan bersih – Datuk Bandar

Klang kini menampilkan wajah baharu yang lebih bersih, teratur dan menarik sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai bandar diraja yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama di Selangor.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain berkata bandar itu melalui transformasi ketara hasil usaha pembersihan, pengindahan serta penambahbaikan kemudahan awam yang dijalankan secara besar-besaran.
Dalam masa sama, Klang turut memperluas daya tarikan pelancongdengan adanya beberapa aset yang berpotensi seperti Galeri Diraja, bangunan bersejarah termasuk balai bomba lama dan Pulau Ketam sebagai destinasi rekreasi, serta perairan Sungai Klang yang bersih dan berpotensi untuk aktiviti air.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Apresiasi Media yang bertemakan “Hawaii Night” di Royal Selangor Yacht Club pada Jumaat malam bagi menghargai sokongan semua pihak.
Tambahnya, dengan pelbagai inisiatif kebersihan, pengindahan dan pembangunan pelancongan yang sedang dilaksanakan, Klang kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai bandar yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.




