Pelajar dirotan warden sampai lebam kerana kacau rakan ulang kaji jam 2 pagi

Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim, pada 29 September lalu.
Kejadian itu melibatkan murid lelaki berusia 11 tahun yang dipercayai dirotan oleh seorang warden berusia 26 tahun pada kira-kira jam 2 pagi kerana didakwa mengganggu pelajar lain yang sedang belajar.
Murid berkenaan yang berasal dari Padang Serai telah berada di maahad tahfiz itu sekitar tujuh bulan.
Ibu bapa mangsa kemudian mendapati kesan lebam pada badan anak mereka sebelum laporan polis dibuat pada 3 Oktober. Siasatan awal dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kertas siasatan kini dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pertimbangan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan.



