Korea Utara cabar AS, Korea Selatan dengan tambah pengeluaran peluru berpandu

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan peningkatan pengeluaran peluru berpandu serta pembinaan lebih banyak kilang senjata bagi memenuhi keperluan ketenteraan negara itu yang semakin meningkat.
Arahan tersebut dibuat susulan peningkatan ketara ujian peluru berpandu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang bertujuan memperkukuh keupayaan serangan tepat, mencabar Amerika Syarikat dan Korea Selatan, selain menyediakan senjata untuk eksport.
Korea Utara dilaporkan semakin rapat dengan Rusia sejak perang Ukraine, termasuk menghantar peluru, peluru berpandu dan sistem roket jarak jauh, dipercayai sebagai pertukaran kepada bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga.
Pemerhati antarabangsa menjangkakan Pyongyang akan mempercepat pembangunan sistem peluru berpandu tahun depan, dengan tumpuan kepada pengeluaran dan ujian senjata jarak sederhana dan pertengahan yang berpotensi dieksport, khususnya kepada Rusia.




