Buat aksi ‘wheelie’ sambil sagat helmet di Jalan Tun Razak, dua remaja ditahan polis

Polis menahan dua lelaki selepas aksi berbahaya mereka melakukan ‘wheelie’ sehingga menyeretkan kepala atas jalan di Jalan Tun Razak tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, kedua-dua suspek diberkas pada 9 Februari sekitar jam 2 pagi dan 2.30 pagi di kediaman berasingan di Sungai Buloh, Selangor.
Tangkapan melibatkan penunggang motosikal berusia 18 tahun dan pembonceng berusia 15 tahun. Polis turut merampas motosikal Yamaha 135LC Fi yang digunakan dalam kejadian itu.
Kejadian yang dirakam menerusi video berdurasi 14 saat di Facebook itu dipercayai berlaku antara jam 3.30 hingga 4 pagi pada 30 Januari lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.




