Alpaka didakwa dianiaya, ‘petting zoo’ di Ampang Point ditamatkan lebih awal

Sebuah pusat beli-belah di Ampang berdepan kecaman selepas video tular memaparkan seekor alpaka didakwa dibiarkan tanpa pengawasan dan bekalan air ketika acara ‘petting zoo’.
Rakaman itu menunjukkan pengunjung cuba memberi air kepada haiwan berkenaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kebajikannya.
Susulan reaksi negatif orang ramai, acara tersebut ditamatkan lebih awal pada Rabu.
Pengurusan Ampang Point memaklumkan program itu dikendalikan penganjur berlesen dan telah melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Pihaknya turut menyatakan alpaka hanya dibawa masuk pada hujung minggu dan tidak ditempatkan secara berterusan di premis berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pusat beli-belah akan meneliti semula garis penilaian bagi acara melibatkan haiwan pada masa depan.




