Malaysia
Dua pekerja taska umur 22 tahun direman kes kematian bayi empat bulan

Dua pekerja pusat jagaan kanak-kanak berusia 22 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas polis menahan kedua-dua suspek semalam.
Bayi berkenaan, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemui tidak sedarkan diri di pusat jagaan 24 jam itu sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital sekitar jam 4 pagi.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas kira-kira sejam usaha resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memaklumkan kes disiasat sebagai kes bunuh.



