Gagal carum KWSP, lebih 2,200 pengarah syarikat disekat keluar negara

Lebih 2,200 pengarah syarikat disekat daripada meninggalkan Malaysia sepanjang 2025 selepas gagal membayar caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP memaklumkan sehingga Disember 2025, seramai 14,332 pengarah syarikat dikenakan sekatan perjalanan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991 kerana gagal melunaskan tanggungjawab caruman pekerja.
Sepanjang tahun lalu, KWSP turut memfailkan 3,530 saman sivil dan memulakan 6,011 tindakan jenayah terhadap majikan serta pengarah syarikat yang ingkar.
Daripada 21,029 aduan pekerja diterima, sebanyak 8,868 kes tunggakan berjaya diselesaikan manakala lebih 12,000 kes masih dalam siasatan.
KWSP menegaskan majikan wajib membuat caruman tepat pada masanya kerana ia melibatkan hak pekerja serta simpanan persaraan mereka.




