Dua kes samun bersenjata berlaku dalam tempoh 24 jam di Nilai – Polis

Dua kes samun bersenjata dilaporkan di Nilai dalam tempoh kurang 24 jam semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 1.10 pagi di sebuah premis serbaneka 24 jam di Bandar Baru Nilai, melibatkan dua lelaki bermotosikal.
Seorang suspek bersenjatakan pisau mengugut mangsa lelaki berusia 20-an sebelum melarikan wang tunai RM600 dan beberapa karton rokok.
Kejadian kedua pula berlaku sekitar 9.48 malam di kawasan Rumah Rakyat Nilai, membabitkan tiga lelaki menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang.
Mereka menyamun seorang wanita berusia 50-an, melarikan wang tunai, kad bank serta barang kemas bernilai lebih RM2,000.
Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada jari ketika cuba mempertahankan begnya.




