Taska didakwa dera kanak-kanak autisme, sorok pelajar dalam longkang elak JKM

Isu melibatkan sebuah taska terus tular di media sosial selepas pendedahan oleh pempengaruh Caprice, apabila timbul dakwaan penderaan kanak-kanak termasuk kanak-kanak autisme di beberapa cawangan di Selangor.
Antara dakwaan paling mencetuskan kemarahan orang ramai ialah tindakan memaksa kanak-kanak autisme merangkak dalam longkang.
Ia dipercayai bagi mengelak pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana premis berkenaan didakwa menempatkan kanak-kanak melebihi kapasiti dibenarkan.
Sebelum ini, tular juga rakaman memaparkan seorang kanak-kanak autisme didakwa dikurung dalam bilik stor, selain seorang bayi dipaksa minum susu secara kasar.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor mengesahkan menerima tiga aduan berkaitan taska berkenaan melibatkan cawangan di Seksyen 3 Shah Alam, Kota Kemuning dan Puchong Prima.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim memaklumkan semua aduan sedang disiasat, pemeriksaan telah dijalankan di lokasi terlibat dan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.




