Dalam hospital pun boleh kotor? Kafeteria hospital swasta di Pulau Pinang diarah tutup serta-merta

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kafeteria di dalam hospital swasta ditutup serta-merta selepas didapati berada dalam keadaan kotor dan tidak mematuhi standard kebersihan makanan yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa menerima aduan awam pada Isnin lalu mengenai kebersihan kafeteria berkenaan berada pada tahap tidak memuaskan, termasuk penemuan lipas di dalam makanan.
Pengusaha kafeteria turut diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan semula secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula.
Dalam masa sama, pihak berkuasa memaklumkan pemantauan berkala akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali makanan terus mematuhi standard kebersihan.


