Menteri perpaduan tekankan sejarah sebagai asas pembinaan negara bangsa

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang menegaskan sejarah bukan sekadar subjek hafalan, sebaliknya asas penting dalam membentuk identiti nasional dan memperkukuh perpaduan rakyat.
Beliau berkata, sejarah perlu diarusperdanakan sebagai teras pembinaan negara bangsa kerana tanpa pemahaman sejarah yang kukuh, masyarakat berisiko kehilangan jati diri serta arah tuju negara.
Menurutnya, cabaran era digital dan lambakan maklumat pantas turut menyebabkan wujud fenomena “historical amnesia” atau lupa sejarah, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mudah terpengaruh dengan naratif tidak seimbang dan pemikiran sehala.
Justeru, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan Konvensyen Sejarah Nasional (KSN) 2026 bertemakan “Bersama Membina Negara Bangsa” di Perlis pada 12 hingga 13 Mei 2026 sebagai platform memperkukuh literasi sejarah dan pemikiran kritikal rakyat.
Beliau berkata, konvensyen itu bukan sekadar wacana akademik, malah akan membincangkan pelbagai aspek termasuk institusi beraja, gerakan nasionalisme, sistem pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat MADANI.
Tambah beliau, penganjuran KSN sebelum ini turut membawa beberapa pencapaian penting termasuk penubuhan Majlis Sejarawan Negara (MSjN), usaha membawa pulang bahan sejarah dari luar negara, pengukuhan Rukun Negara serta menjadikan sejarah sebagai subjek wajib dalam pendidikan negara.




