KPM susun pendekatan khas, atasi kelemahan Matematik murid

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merangka pendekatan khusus bagi menangani kelemahan penguasaan Matematik dalam kalangan murid menerusi Modul Miskonsepsi dalam Matematik serta penyelarasan kepakaran guru.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Rusmini Ku Ahmad berkata, dapatan PISA 2025 mendapati kelemahan utama murid bukan sekadar menjawab soalan, tetapi melibatkan pemahaman konsep asas dan kemahiran penaakulan Matematik.
Menurutnya, walaupun murid Malaysia menunjukkan prestasi baik dalam penyelesaian masalah komputasional, mereka masih berdepan kesukaran menjelaskan alasan logik di sebalik jawapan Matematik.
Bagi mengatasinya, KPM turut memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, termasuk latihan semula guru, pengukuhan kepimpinan sekolah dan khidmat nasihat kumpulan pakar.
Rusmini berkata, KPM juga sedang meneliti data di peringkat sekolah bagi menangani ketidakpadanan opsyen guru, termasuk guru Matematik yang mengajar mata pelajaran lain.




