Terjatuh dalam longkang, empat kanak-kanak maut

Empat kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10. Muhamad Aeril Aziz dan Muhammad Arif Naufan merupakan adik-beradik tiri.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kesemua mangsa dipercayai keluar bermain bola sebelum bola terjatuh ke dalam longkang. Mereka kemudian cuba mengambil bola berkenaan sebelum terjatuh ke dalam longkang yang dianggarkan sedalam 10 kaki dan selebar enam kaki.
Syamsul berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai empat kanak-kanak yang terjatuh ke dalam kolam tadahan. Hasil temubual dengan ibu mangsa mendapati kesemua mereka tinggal berhampiran kawasan kejadian, namun tiada saksi yang melihat kejadian itu berlaku.
Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.




