Dua lelaki bawa dadah RM13.6 juta dalam Mercedes ditahan di Banting

Polis menahan dua lelaki bersama dadah bernilai RM13.6 juta yang disorok di bahagian tempat duduk belakang sebuah Mercedes A200 di persimpangan lampu isyarat sekitar Banting, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, rampasan melibatkan 30 bungkusan ekstasi seberat 61.76 kilogram dan tiga bungkusan Eramin 5 seberat 9.85 kilogram, dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
Suspek pertama berusia 47 tahun bekerja di syarikat kontraktor dengan 19 rekod lampau berkaitan narkotik, manakala suspek kedua berusia 42 tahun tidak bekerja dan memiliki 22 rekod jenayah narkotik.
Ujian air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah.
Kedua-duanya direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis turut menyita seutas rantai leher bernilai RM15,000 dan sebuah jam tangan RM500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.




