Malaysia

12 ahli Parlimen PKR gesa Saifuddin tulis surat kepada Singapura tangguh hukuman mati

Sekumpulan 12 ahli Parlimen PKR menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menulis surat kepada kerajaan Singapura bagi memohon penangguhan hukuman mati terhadap banduan Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman.

Mereka menegaskan langkah itu perlu sementara polis menyiasat ketua sindiket dadah yang merekrut Pannir, susulan laporan polis dibuat seorang saksi bebas pada Mac lalu.

Laporan tersebut didakwa memberi maklumat baharu mengenai dua anggota kanan sindiket berkenaan.

Ahli Parlimen terbabit berharap siasatan itu dapat membawa kepada penangkapan dalang sindiket sekali gus meyakinkan kerajaan Singapura untuk mengeluarkan Certificate of Substantive Assistance kepada Pannir, yang boleh menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen, Syed Ibrahim Syed Noh, Rodziah Ismail, Bakhtiar Wan Chik, R Yuneswaran, S Kesavan, Tan Kar Hing, Onn Abdul Bakar, Lee Chean Chung dan Zahir Hassan.

Pannir dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada Mei 2017 kerana mengimport 51.84 gram diamorfin.

Rayuan dan petisyen pengampunannya ditolak, dan dua minggu lalu Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu prosiding tatatertib terhadap bekas peguamnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker