Bank Rakyat tawar moratorium enam bulan untuk mangsa banjir, tanah runtuh di Sabah

Bank Rakyat menawarkan bantuan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir dan kejadian tanah runtuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dalam satu kenyataan berkata, kemudahan moratorium itu melibatkan mangsa bencana di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.
Katanya, ia bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung oleh pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.
Ia merangkumi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaani, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
Ahmad Shahril berkata, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.




