Mayat wanita disyaki hilang di Ampang ditemui dalam beg di Rembau

Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui di luar sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, disyaki berkait dengan kes orang hilang yang dilaporkan di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan mayat berkenaan ditemui di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang rumah di Jalan Pedas–Linggi selepas polis menerima maklumat susulan laporan orang hilang pada 15 Disember lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian. Polis kini giat mengesan individu yang disyaki terlibat.
Mangsa dipercayai Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember di Ampang. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Rembau di talian 06-6852222.




