Gaji purata RM760 sebulan, pemandu e-hailing Indonesia rancang tunjuk perasaan hari ini

Indonesia dijangka berdepan satu lagi gelombang protes besar apabila ribuan pemandu e-hailing merancang turun ke jalan pada Rabu.
Demonstrasi yang digerakkan persatuan Garda itu dijangka menghimpunkan antara 2,000 hingga 5,000 peserta, dengan rancangan mengadakan bantahan lebih besar dalam bulan mendatang.
Protes ini menandakan tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan Presiden Prabowo Subianto berikutan tuntutan perlindungan undang-undang dan kebajikan yang lebih baik.
Walaupun menjadi nadi pengangkutan bandar dengan jaket hijau Gojek dan Grab, pemandu “ojol” terus berdepan pendapatan rendah, tiada perlindungan sosial, dan beban ekonomi yang semakin meruncing.
Kajian terbaru mendapati purata pendapatan bulanan mereka di Jakarta hanya sekitar AS$163 (RM760), jauh lebih rendah berbanding gaji minimum bandar itu.
Lebih membimbangkan, hanya sebahagian kecil yang berdaftar dalam skim keselamatan sosial pekerjaan.




