Majlis AIDS perkenal inisiatif KAMI tangani peningkatan kes HIV belia

Majlis AIDS Malaysia (MAC) menggesa tindakan lebih berani dan pragmatik dalam menangani peningkatan kes HIV dalam kalangan belia, susulan data kebangsaan menunjukkan kadar jangkitan terus meningkat.
Naib Presiden MAC, Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh berkata, ratusan pelajar universiti dikesan positif HIV setiap tahun, selaras dengan trend nasional yang menunjukkan tingkah laku berisiko bermula seawal usia remaja.
Bagi menangani isu ini, MAC melancarkan program Kelab Kesihatan Anak Muda IPTA (KAMI), sebuah program pendidikan rakan sebaya di kampus.
Beliau menegaskan, kejayaan KAMI tidak bergantung pada kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat universiti, rakan korporat dan komuniti.
Berdasarkan rekod terkini, golongan berusia 20 hingga 39 tahun merangkumi hampir 75% daripada kes baharu HIV di Malaysia, dengan penularan seksual menyumbang kira-kira 92% daripada jangkitan.
Tahap kesedaran pula amat rendah apabila hanya sekitar 11% remaja berusia 15 hingga 24 tahun dilaporkan benar-benar memahami kaedah pencegahan HIV.




