PRN Sarawak 12 Disember, penamaan calon bermula 28 November
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, manakala hari penamaan calon berlangsung pada 28 November ini.
Pengundian awal pula ditetapkan pada 8 Disember, dengan tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan calon sehingga menjelang hari pengundian.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat khas SPR yang dipengerusikan Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun, di Kuching, Sarawak, hari ini. Mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan pilihan raya termasuk penggunaan daftar pemilih dan urusan pelaksanaan PRN.
PRN kali ini melibatkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pembubaran DUN Sarawak yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu. Pilihan raya itu akan menentukan kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.




