Pendakian di Malaysia catat 63 kematian dalam lima tahun – NRES

Sebanyak 1,059 kes kemalangan akibat aktiviti pendakian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan 63 daripadanya melibatkan kematian, kata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata data itu diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam tempoh sama, sebanyak 87 kes kecederaan turut dilaporkan membabitkan aktiviti pendakian di kawasan rekreasi hutan dan gunung di seluruh negara.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini, ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai statistik kemalangan serta usaha kerajaan memperkenalkan piawaian keselamatan nasional untuk aktiviti pendakian.
Menurut Syed Ibrahim, JPSM dengan sokongan United Nations Development Programme (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) bagi mengurus risiko dan kapasiti laluan pendakian.



