Anwar pertahan Azam, tiada sebab pecat jika jalankan tugas dengan baik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya Tan Sri Azam Baki dipecat sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menegaskan tiada asas untuk menyingkirkannya selagi beliau menjalankan tugas dengan baik.
Anwar berkata keputusan tidak wajar dibuat tanpa meneliti penjelasan penuh berhubung dakwaan pegangan saham Azam dalam Velocity Capital Bhd, sambil menyifatkan kritikan yang dilemparkan sebagai tidak sihat.
Desakan supaya Azam digantung atau meletak jawatan timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa beliau memiliki 17.7 juta saham atau 1.7 peratus dalam syarikat itu, seperti direkodkan dalam penyata tahunan dan daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dakwaan itu turut dikaitkan dengan pekeliling 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam kepada 5 peratus atau RM100,000, mana yang lebih rendah.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran memaklumkan kuasa membenarkan pelaburan melebihi had tersebut terletak pada Ketua Setiausaha Negara.




