Letupan kuat di Nilai: Polis tahan suspek lelaki warga emas

Polis mengenal pasti suspek insiden letupan kenderaan berhampiran pangsapuri Desa Palma, Nilai, semalam, yang dipercayai dilakukan secara bersendirian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan suspek ialah lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an dan mempunyai satu rekod jenayah bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis turut menemui beberapa bahan letupan lain di kediaman suspek menggunakan kaedah yang sama, selain berjaya memusnahkan semua bahan letupan dalam kenderaan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom sehingga awal pagi tadi.
Suspek kini diburu selepas melarikan diri, manakala motif kejadian masih disiasat. Polis mengesahkan kes itu bersifat terpencil dan tidak berkait sebarang aktiviti keganasan atau terorisme.
Dalam kejadian pagi semalam, penduduk dikejutkan dengan letupan kuat daripada sebuah kereta, menyebabkan paku bertaburan di jalan serta beberapa kenderaan rosak akibat serpihan letupan.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa lagi peranti letupan buatan sendiri (IED) di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian.




